Friday, June 26, 2009

BULAN REJAB


SELAMAT DATANG BULAN REJAB




Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Hakikat ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang yang beramal soleh hanya dia sahaja yang maha mengetahui. Oleh kerana itu sudah sewajarnyalah didalam bulan Rejab ini dan juga bulan-bulan yang lain diisi dengan perkara-perkara yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT dan mendapat keredaannya.

Sesungguhnya terdapat banyak hadis-hadis nabi dan ayat-ayat Al-Quran yang memberikan galakkan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadah tanpa mengira didalam bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh kerana itu, bersempena datangnya bulan Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan seperti mana juga didalam bulan-bulan yang lain, diantaranya,

1. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab.

Amalan berpuasa sunat adalah merupakan satu galakan daripada Allah SWT kepada umat Muhammad s.a.w sebagaimana disebutkan didalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud,

“Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah SWT berfirman bahawa puasa itu adalah untukKu maka Akulah yang akan membalasnya”.

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim Al-Ansori, beliau (Uthman) pernah bertanyakan kepada Said bin Jubair mengenai puasa Rejab. Said menjawab “Aku mendengar Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa rejab sehingga kami menyangka baginda tidak berbuka (terus menerus berpuasa) dan baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa”.

2. Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam yang bermaksud “Tangan yang diatas (pemberi) lebih baik dari dari tangan yang dibawah (penerima)”.

3. Memperbanyakkan zikirullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ra''d ayat ke 28 yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia”.

Demikianlah sebahagian amalan-amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya. Amalan ini sekiranya diamalkan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. Ini sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara maksiat dan masalah sosial yang lain. Malangnya, amalan mulia sebegini sering ditinggalkan oleh sebahagian umat Islam sama ada oleh golongan muda mahupun golongan tua. Akibatnya, mereka lebih banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu dan terlibat dengan pelbagai bentuk kegiatan jenayah.

Saudara-saudariku seaqidah sekalian,

Al-Imam al-Nawawi mengkhususkan suatu bab dalam karya ulungnya Riyadhus Salihin tentang keutamaan beriltizam dengan surah-surah yang tertentu, juga wirid-wirid yang khusus sebagai satu komponen yang penting membentuk peribadi salih.Ini termasuk keutamaan membaca al-Fatihah, ayatul Kursiy, 2 ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Mulk dan 3 Qul ( al-Ikhlas, al-Falaq & al-Naas ) .

wirid-wirid yang tertentu juga amat mustahak diamalkan kerana ia adalah supplement ruhani yang sering diabaikan menyebabkan berlakunya kecenderungan melakukan perbuatan-perbuatan yang haram.Kita juga seharusnya tidak melupakan firman Allah SWT yang menyatakan bahawa dengan zikrullah, hati mereka akan merasa aman dan tenteram.

Di samping itu ramai umat Islam yang melupakan sabda Rasulullah s.a.w tentang keutamaan berpuasa untuk mengelakkan diri dari perkara- perkara maksiat. Inilah merupakan sebahagian dari program pengabdian diri bagi melahirkan rasa ubudiyyah buat menongkah perangai mazmumah sebagai persiapan menyemarakkanisemangat Ramadhan.

Marilah kita bersama memulakan tazkiyyah ini dengan melakukan senarai semak atau bermuhasabah agar amalan-amalan sunat ini didalam membentuk jiwa dan peribadi yang sempurna. Dengan bermulanya bulan Rejab ini, anak-anak muda khususnya dan umat Islam umumnya harus diberikan kesedaran dan sedikit suntikan semangat supaya bersama-sama menghidupkan amalan-amalan mulia ini dan seterusnya dapat membangunkan diri mereka menjadi insan yang bertaqwa disisi Allah SWT.

Apa yang kita harapkan agar amalan-amalan didalam bulan Rejab ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Saturday, June 13, 2009

Blog Suami

Merasmikan Blog Suami; Hj Abdul Rashid Haron :



http://rashidharon.blogspot.com